Sunday, 9 April 2017

WALI DALAM PERNIKAHAN ( WALI HAKIM ) DAN PERLAKSANAANNYA DI MALAYSIA

ISI KANDUNGAN
BIL
PERKARA
MUKA SURAT
1.

PENDAHULUAN
1
2.

PENGERTIAN WALI
2-4
3.

SUSUNAN WALI
4
4.

SYARAT-SYARAT MENJADI WALI
5-6
5.

KATEGORI WALI
7-8
6.

SEBAB PERPINDAHAN WALI NASAB KEPADA WALI HAKIM
9-10
7.

DEFINISI WALI DALAM PERNIKAHAN DARI SUDUT UNDANG-UNDANG KELUARGA ISLAM DI MALAYSIA
11
8.
UNDANG-UNDANG KELUARGA ISLAM DI MALAYSIA


11-12
9.
DEFINISI WALI HAKIM BAGI SETAIP NEGERI DI MALAYSIA

12-13
 10.
IZIN DAN WAKALAH WALI

13
11.
PERBINCANGAN
13-14

12.
KESIMPULAN

15



PENDAHULUAN
             Pada zaman globalisasi ini, pelbagai isu-isu permasalahan berlaku terutama sekali permasalahan tentang institusi kekeluargaan. Seandainya keluarga bahagia, ia akan membentuk masyarakat yang hebat da sejahtera. Sebaliknya jika keluarga porak peranda lambat laun masyarakat akan binasa. Justeru itu, Allah mesyariatkan perkahwinan sebagai penyelesaian kepada permasalahan tersebut.
            Perkahwinan dari sudut bahasa perkataan nikah itu berasal daripada bahasa Arab yang bermakna himpun, kumpul dan cantum. Menurut syariah, nikah ialah satu  akad untuk mengharuskan perhubungan (persetubuhan) antara lelaki dan perempuan menggunakan lafaz nikah, tazwij atau terjemahannya.
            Namun, apa yang saya bincangkan dalam bab perkahwinan ini adalah, berkaitan tentang individu yang berada dalam bidang kuasanya untuk menjadi wali kepada bakal pengantin perempuan terutama sekali dalam kategori Wali Hakim dan penjelasan berkaitan wali dalam pernikahan. Perkara ini perlu dibincangkan bagi mengelakkan masyarakat Islam di Malaysia jelas akan hal ini. Justeru, saya akan membincangkan tentang tajuk Wali Dalam Pernikahan         (Wali Hakim) Dan Perlaksanaannya Di Malaysia.









PENGERTIAN WALI
Menurut bahasa, kesanggupan bertindak, menguruskan atau kekuasaan mentadbir sesuatu manakala dari segi istilah pula, orang yang memiliki atau diberikan kuasa Syara’ untuk mengangkat nikah.
            Adapun makna kata pendapat yang lain, wali dalam nikah adalah orang yang menentukan sahnya akad. Akad nikah tidak sah dengan ketiadaannya. Wali itu seperti bapa, orang yang diwasiatkan, karib kerabat yang dekat ( al-Qarib al-Ashib) , orang yang membebaskan hamba, penguasa dan raja.[1]
            Antara rukun nikah adalah wali. Namun demikian, ada kalanya, pasangan yang ingin melangsungkan perkahwinan boleh menggunakan wali hakim. Adalah wajar jika kita merujuk kepada pengertian wali secara umum dan pembahagiannya. Kemudian kita ikuti dengan penjelasan tentang wali hakim: definisi, kedudukan dan sebab-sebab yang membolehkannya berperanan di dalam sesuatu perkahwinan.
Wali dalam urusan perkahwinan ialah seorang yang memiliki kuasa mengahwinkan seseorang anak perempuan sama ada dia adalah penjaganya ataupun bukan. Kewujudan wali adalah penting bagi mengesahkan sesuatu perkahwinan. Wali (di dalam Mazhab Shafi`i) merupakan salah satu rukun perkahwinan. Tanpa wali atau keizinannya kepada wakilnya, sesuatu perkahwinan itu di hukum tidak sah. Hukum ini adalah merujuk kepada sebuah Hadis Rasulullah s.a.w yang bermaksud: Siapa sahaja perempuan yang berkahwin tanpa izin walinya, maka perkahwinannya itu batal (tidak sah), jika dia disetubuhi (oleh lelaki yang mengahwininya itu) maka dia berhak mendapat maskahwin kerana dia (iaitu lelaki itu) telah menghalalkan kemaluannya dan jika mereka (iaitu para wali) berbalah, maka sultanlah yang menjadi wali bagi sesiapa yang tidak mempunyai wali (riwayat al-Darimi, al-Hakim, al-Baihaqi dan Abu Daud al-Tayalisi).[2]

Berdasarkan kepada Hadis di atas, ulama' membahagikan wali kepada dua peringkat; iaitu wali nasab dan wali hakim atau disebut juga sebagai wali sultan. Wali nasab ialah orang yang mempunyai pertalian keturunan dengan seseorang perempuan yang bakal berkahwin, seperti bapanya, datuknya dan lain-lain.
Wali hakim ialah Ketua Negara Islam atau wakilnya seperti Kadi Besar, Kadi-kadi Daerah atau mereka yang mendapat tauliah daripada Pejabat-pejabat Kadi Daerah, biasanya mereka ini terdiri daripada imam masjid, bilalnya atau seorang alim kampung.
Wali hakim bertindak sebagai wali kepada pengantin perempuan yang tidak mempunyai wali. Menurut Seksyen 2(1) Akta Undang-undang Keluarga Islam Wilayah Persekutuan, wali hakim bererti wali yang ditauliahkan oleh Yang diPertuan Agong dalam hal Wilayah Persekutuan, Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak atau oleh Raja dalam hal sesuatu negeri lain, untuk mengahwinankan perempuan yang tidak mempunyai wali dari nasab. Terdapat beberapa situasi di mana wali hakim boleh digunakan.

MENURUT ISTILAH SYARAK
Para sarjana Islam telah memberikan pelbagai definisi mengenai wali atau perwalian ini dari sudut istilah syarak. Antaranya ialah, Wahbah al-Zuhayli mendefinisikan perwalian dengan maksud kuasa yang membolehkan seseorang untuk melakukan akad atau membelanjakan harta tanpa keizinan orang lain. Menurut al-Sayyid Sabiq, perwalian bermaksud suatu hak menurut syarak yang berkuasa melaksanakan perintah atas orang lain dengan paksa. Menurut Badran Abu al-Aynayn Badran, perwalian ialah kuasa syarak yang diberikan kepada wali untuk menguruskan akad nikah dan untuk membelanjakan harta serta melaksanakan perintah tersebut.  Menurut Abdul Karim Zaidan, perwalian ialah kekuasaan secara syarak terhadap diri dan harta mengikut turutan pelaksanaan kedua-duanya. Menurut Muhammad Muhyiddin Abdul Hamid, perwalian bermaksud orang yang berhak dan berkuasa untuk melakukan hukuman bagi sesiapa yang berada di bawah jagaannya menurut syarak sama ada dengan keizinan atau paksaan. Muhammad Salam Madkur mengatakan bahawa perwalian ialah kekuasaan yang diberikan oleh syarak untuk membolehkan orang tersebut mengadakan akad atas diri dan harta untuk melaksanakan kedua-duanya menurut syarak.
Berdasarkan definisi yang telah diberikan oleh para sarjana Islam tersebut, walaupun dengan olahan yang berbeza tetapi dapat memberikan pengertian yang sama, iaitu bermaksud, seorang lelaki yang ada kuasa untuk menikahkan seseorang perempuan yang berada di bawah tanggungannya.

SUSUNAN WALI PERNIKAHAN
Susunan yang paling terawal adalah, bapa kandung kepada bakal pengantin perempuan, kemudian, datuk dan ke atas dan seterusnya, saudara lelaki seibu sebapa (Adik-Beradik). Saudara lelaki sebapa (Adik-Beradik). Anak lelaki daripada saudara lelaki seibu Ssbapa (Anak Saudara) . Anak lelaki daripada saudara lelaki sebapa dan ke bawah (Anak Saudara). Saudara lelaki bapa seibu sebapa  (Bapa Saudara).[3] Saudara lelaki bapa sebapa (Bapa Saudara). Anak lelaki daripada saudara lelaki bapa seibu sebapa (Sepupu).  Anak lelaki daripada saudara lelaki bapa sebapa dan ke bawah (Sepupu). Bapa saudara lelaki kepada bapa kepada bapa seibu sebapa (Datuk Saudara). Bapa saudara lelaki kepada bapa kepada bapa sebapa (Datuk Saudara). Anak saudara lelaki kepada bapa kepada bapa seibu sebapa (Sepupu Kepada Bapa). Anak saudara lelaki lepada bapa kepada bapa sebapa (Sepupu Kepada Bapa). Yang terakhir sekali, merupakan Wali Hakim / Wali Raja / Wali Sultan.[4]







SYARAT-SYARAT MENJADI WALI
Adapun syarat untuk wali, yang pertama sekali ialah mestilah dari orang yang berakal, makna kata lain waras. Mampu mempertimbangkan sesuatu dengan rasional.
 Yang keduanya, baligh. Orang yang menjadi wali mestilah sudah baligh. Sudah masuk peringkat usia yang matang.
Seterusnya, merdeka. Bebas daripada mana-mana hubungan perhambaan, tidak menjadi hamba kepada mana-mana orang.
            Seterusnya, kesamaan agama iaitu Islam. Maka tidak sah wali kafir untuk orang Islam lelaki dan perempuan. Begitu pula tidak sah perwalian orang Islam untuk orang kafir lelaki atau perempuan. Adapun orang kafir menjadi wali bagi wanita kafir adalah, meskipun berbeza agamanya. Dan orang yang keluar dari agama (murtad) tidak boleh menjadi wali bagi siapa-siapapun.
            Kemudian, adil bukan dari kalangan orang yang fasik.  Maksud adil di sini ialah , meletakkan sesuatu pada tempatnya, tidak memberatkan sebelah pihak. Sebagian ulama menjadikan perkara ini sebagai syarat, tapi sebagian lain mencukupkan dengan syarat sebelumnya. Sebagian lagi mencukupkan syarat dengan kemaslahatan bagi yang diwalikan untuk menikahkannya.
    Syarat seterusnya, adalah mestilah lelaki, berdasarkan sabda Nabi sallallahu’alaihi wa sallam,

لا تُزَوِّجُ الْمَرْأَةُ الْمَرْأَةَ وَلا تُزَوِّجُ الْمَرْأَةُ نَفْسَهَا فَإِنَّ الزَّانِيَةَ هِيَ الَّتِي تُزَوِّجُ نَفْسَهَا (رواه ابن ماجة، رقم 1782 وهو في صحيح الجامع 7298)
“Wanita tidak (dibolehkan) menikahkan wanita lainnya. Dan wanita tidak boleh menikahkan dirinya sendiri. Karena wanita pezina adalah yang menikahkan dirinya sendiri."  (HR. Ibnu Majah,  no. 1782. Hadits ini terdapat dalam Shahih Al-Jami, no. 7298)

    Yang terakhirnya, bijak, iaitu orang yang mampu mengetahui kesetaraan (antara kedua pasangan) dan permasalahan dalam pernikahan.
Para wali mestilah mengikut turutan menurut  ahli fiqih. Maka tidak dibolehkan melangkaui wali terdekat, kecuali jika wali terdekat tidak ada atau tidak memenuhi syarat. Wali seorang wanita adalah bapanya, kemudian orang yang diwasiatkannya untuk menjadi walinya, kemudian adalah datuknya  dari bapa sampai ke atas, kemudian, anak lelaki, kemudian cucu sampai ke bawah. Kemudian saudara lelaki sekandung,  berikutnya saudara lelaki sebapa. kemudian anak dari keduanya.  Kemudian paman sekandung, lalu paman sebapak, .kemudian anak dari keduanya. Kemudian yang terdekat dari sisi keturunan dari asobah seperti dalam waris. Kemudian penguasa muslim (dan orang yang menggantikannya seperti Hakim) sebagai wali bagi yang tidak mempunyai perwalian.[5]












KATEGORI WALI
       Waji Nasab adalah orang yang memiliki kuasa syara’ untuk mengakadnikahkan perempuan daripada perempuan daripada keturunannya yang berasakan pertalian darah yang sah. Wali Nasab juga mempunyai bahagia- bahagiannya yang pertama ialah wali mujbir. Maksud Wali Mujbir ialah bapa atau datuk sebelah bapa dan ke atas kepada bakal pengantin perempuan.
       Kedua ialah Wali ijbar, wali itu boleh dibahagikan kepada dua bahagian, iaitu al-Qasirah dan al-Muta‘addiyyah. Wali al-Qasirah ialah kuasa yang ada pada seseorang untuk menikahkan dirinya sendiri. Para fuqaha bersependapat bahawa hak ini diperuntukkan kepada lelaki yang akil baligh, boleh membuat keputusan sendiri dalam hal pernikahan tanpa campur tangan orang lain. Wali alMuta‘addiyyah pula merujuk kuasa seseorang untuk menikahkan orang lain.
       Wali al-Muta‘addiyyah pula boleh dibahagikan kepada tiga bahagian, yang pertama, berdasarkan kepada orang yang berhak mewalikan iaitu “Al-Asliya” kuasa wali yang disabitkan daripada mula lagi dan tidak memerlukan bantuan orang lain seperti wali bapa dan datuk yang sabit kerana kebapaan. Kemudian  “ Al-Niyabiyyah”  kuasa wali yang diambil oleh orang lain selain bapa dan datuk seperti wali bapa saudara. Yang keduanya, berdasarkan orang yang berada di bawah kuasa walinya “ Al-Ijbar” kuasa penuh untuk melakukan akad pernikahan terhadap perempuan yang masih gadis di bawah umur secara paksa tanpa keizinan perempuan itu terlebih dahulu dengan lelaki yang sekufu dengannya. “Al-Ikhtiyar:” kuasa penuh untuk melakukan akad pernikahan tetapi tidak mempunyai kuasa mutlak untuk memaksa seseorang perempuan berkahwin. Yang ketiga, berdasarkan kuasa perundangan. “Al-‘Ammah”  Pensabitannya kepada ketua negara dan pelaksanaannya secara perundangan dan bukannya peribadi. Kuasa ini terletak di tangan pemerintah. “Al-Khassah” Pensabitannya kepada orang perseorangan dan pelaksanaannya secara peribadi dan bukannya secara perundangan. Kuasa terletak kepada para wali berdasarkan turutan perpindahan menurut hukum syarak.[6]
      


 Seterusnya yang ketiga, Wali Raja, Wali Sultan, Wali Hakim, Wali Am. Pembahagian wali ini adalah wali  yang ditauliahkan oleh Seri Paduka Baginda Yang Di-PertuanAgong atau DYMM Sultan atau Raja untuk mengahwinkan perempuan yang tidak mempunyai wali nasab, wali ghaib, atau walinya enggan mengahwinkannya tanpa suatu sebab yang munasabah mengikut Hukum Syara’. Hal ini meliputi juga kadi yang diizinkan kerana dia merupakan naib kepada pemerintah. Badran Abu al-‘Aynayn Badran menyatakan bahawa, wali hakim ialah pemerintah yang mempunyai kuasa melaksanakan segala tindakan terhadap rakyatnya sama ada mereka setuju atau tidak selagi tindakan itu untuk kebaikan mereka. Kuasa ini meliputi hakim atau naibnya. Hakim juga berhak melantik sesiapa sahaja seperti kadi untuk melaksanakannya. Ahmad al-Hasri pula mendefinisikan wali hakim ialah sultan atau hakim atau sesiapa sahaja yang dilantik dan diberikan kuasa kepadanya untuk menjadi wali ketika ketiadaan wali khas dengan sebab pertalian kekeluargaan misalnya. Berdasarkan takrifan ini, dapat disimpulkan bahawa, wali hakim ialah sultan yang merupakan pemerintah sesebuah negara Islam atau naibnya, iaitu hakim atau kadi atau sesiapa sahaja yang diberikan kuasa oleh sultan bagi mewakilinya untuk bertindak sebagai wali nikah kepada perempuan yang tiada wali untuk melangsungkan pernikahan tersebut.
 Akhir sekali, dalam bahagian kategori wali dalam bab pernikahan adalah Wali Tahkim, maksudnya, seorang yang dilantik oleh pasangan pengantin untuk menjalankan akad nikah di tempat yang tiada nasab dan tiada Wali Raja / Wali Sultan / Wali Hakim / Wali Am dengan syarat-syarat tertentu. Namun dalam konteks Negara Malaysia perkara ini tidak dipakai kerana Malaysia masih mempunyai ketua Negara dan orang yang lebih berhak menjadi wali kepada bakal pengantin perempuan.[7]





SEBAB-SEBAB PERPINDAHAN WALI NASAB KEPADA WALI HAKIM
           Yang pertama, sekiranya Wali Aqrab bakal pengantin perempuan dalam haji atau umrah. Jika wali aqrab menunaikan haji atau umrah maka hak walinya terlucut dan hak wali itu juga tidak berpindah kepada wali ab’ad, tetapi hak wali itu berpindah kepada wali hakim. Ini adalah terkandung dalam kitab Minhaj Talibin dalam bab Nikah. Sekiranya wali aqrab itu membuat wakalah wali sebelum membuat haji atau umrah atau semasa ihram maka wakalah wali itu tidak sah. Rasullullah saw bersabda: Orang yang ihram haji atau umrah tidak boleh mengahwinkan orang dan juga tidak boleh berkahwin. (Riwayat Muslim).
          Keduanya, bakal pengantin perempuan tidak mempunyai wali nasab, ini terjadi sekiranya orang yang berkuasa syara’ mengakad nikahkah perempuan yang daripada keturunannya sah itu sudah meninggal dunia atau hilang tanpa dapat dikesan dan sebagainya. Orang yang berkuasa syara’ ini bermaksud bapa kandung kepada bakal pengantin perempuan sekiranya bapanya telah meninggal dunia peralihan wali kepada datuk sebelah bapa ke atas, sekiranya datuknya juga telah meninggal dunia, orang yang boleh menjadi wali untuknya adalah saudara lelaki seibu sebapa, dan seterusnya, saudara lelaki sebapanya. Dan perwalian akan beralih kepada susunan-susunan orang yang layak menajdi wali bagi pernikahannya.
         Sebab yang ketiganya,Wali enggan. Mengikut pendapat para Fuqaha bahawa wali tidak boleh enggan untuk menikahkan perempuan yang dalam kewaliannya, tidak boleh menyakitinya atau melarangnya berkahwin walhal pilihan perempuan itu memenuhi kehendak syarak. Perbuatan wali menghalang atau enggan menikahkan wanita tanpa ada alasan syarak adalah dilarang dan dianggap satu tindakan yang zalim kepada wanita itu.
Menurut Jumhur Fuqaha (Shafie, maliki dan hambali) apabila wali aqrab enggan menikahkan pengantin perempuan, maka wali hakimlah yang menikahkannya. Rasullullah s.a.w. bersabda: Kalau wali-wali itu enggan maka Sultan atau hakim menjadi wali bagi perempuan yang tidak mempunyai wali (Riwayat Abu Daud dan At-Tamizi).[8]

        
 Dalam kes Azizah bte Mat lawan Mat b Salleh (1976, Jld.11.1JH) mengenai wali enggan di Mahkamah Kadi Perlis, Yang Arif telah memutuskan, perempuan itu berhak mendapat wali Raja
atau Hakim untuk berkahwin. Kadi menyatakan: Berdasarkan kepada hukum syarak, apabila seseorang wali itu tidak mahu mewakilkan nikah anaknya kerana enggan atau berselisih faham, maka bolehlah dinikahkan perempuan itu dengan berwalikan wali hakim atau wali raja dengan alasan.[9]
         Pertama : Dari riwayat Abu Daud, Ahmad dan At-tamizi,Aishah r.a meriwayatkan Nabi s.a.w. telah bersabda : Jika mereka berselisih, maka Sultan atau Rajalah wali bagi orang yang tidak ada wali.
          Kedua : Rasullullah s.a.w. bersabda : Kalau datang kepadamu lelaki beragama dan berakhlak baik, maka nikahkanlah ia. Jika kamu tidak melakukannya, nescaya akan terjadi fitnah dan kerosakan yang besar. Ini daripada riwayat At-Tamizi).
Ini bermakna wali yang enggan menikahkan seseorang perempuan tanpa alasan munasabah mengikut syarak, maka hak wali itu berpindah kepada wali hakim.
        Seterusnya sebab yang keempat, anak yang tidak sah tarafnya atau anak angkat. Anak tidak sah taraf atau anak yang lahir sebelum adanya perkahwinan yang sah. Sekiranya anak yang tidak sah taraf itu perempuan dan semasa dia berkahwin maka walinya ialah wali hakim. Begitu juga dengan anak angkat. Jika anak angkat itu berasal daripada anak tidak sah taraf maka walinya adalah wali hakim kerana anak itu dianggap tidak mempunyai wali nasab.
        Yang terakhir, saudara baru yang tiada wali nasab. Bagi pengantin perempuan yang tidak mempunyai wali nasab seperti mereka yang baru memeluk islam dan tiada saudara maranya yang memeluk Islam, atau perempuan yang tidak mempunyai wali langsung, maka wali hakim yang akan menjadi wali dalam perkahwinannnya, Rasullah saw bersabda Sultanlah menjadi wali bagi perempuan yang tidak mempunyai wali,( Riwayat al Khamsak).[10]

DEFINISI WALI DALAM PERNIKAHAN DARI SUDUT UNDANG-UNDANG KELUARGA ISLAM DI MALAYSIA
Bahagian ini membincangkan peruntukan berkaitan dengan wali, wali ijbar dan wali hakim berdasarkan peruntukan Undang-undang Keluarga Islam yang berkuat kuasa di Malaysia. Perbincangan dimulakan terlebih dahulu dengan melihat kepada undang-undang keluarga Islam yang berkuat kuasa di negeri seluruh Malaysia. Seterusnya perbincangan menjurus kepada definisi wali, wali ijbar dan wali hakim sebagaimana diperuntukkan dalam undangundang terbabit.

UNDANG-UNDANG KELUARGA ISLAM YANG BERKUAT KUASA MENGIKUT NEGERI DI MALAYSIA
Berdasarkan Perlembagaan Persekutuan, perkara yang berkaitan dengan agama Islam terletak di bawah bidang kuasa kerajaan negeri. Bidang keagamaan meliputi hukum syarak, undang-undang diri dan keluarga termasuk di bawah bidang  kuasa kerajaan negeri. Berkaitan dengan undang-undang keluarga Islam, perkara yang diberikan kuasa oleh Perlembagaan Persekutuan kepada negeri-negeri meliputi aspek pertunangan, perkahwinan, perceraian, mas kahwin, nafkah, pengambilan anak angkat, taraf anak, penjagaan anak, pemberian, pembahagian harta dan amanah bukan khairat dan perkara yang seumpamanya.
Perkahwinan meliputi pertunangan, syarat sah perkahwinan, syarat yang membolehkan perkahwinan itu didaftarkan, mas kahwin, pendaftaran dan poligami.
Yang kedua, pembubaran perkahwinan yang meliputi perceraian dengan talak, perceraian dengan perintah, perceraian dengan tebus talak atau khuluk, perceraian dengan taklik, fasakh, anggapan mati, pendaftaran perceraian, mutaah atau pemberian sagu hati sesudah bercerai dan harta sepencarian. Yang ketiga, nafkah yang meliputi nafkah isteri, anak-anak, nafkah-nafkah lain, kuasa mahkamah dalam membuat perintah nafkah dan nafkah selepas perceraian.
Yang keempat, penjagaan yang meliputi orang yang berhak menjaga anak serta kelayakan masing-masing, lama tempoh penjagaan, perintah penjagaan oleh mahkamah, kuasa penjagaan atas harta, pelantikan penjaga oleh mahkamah, pemecatan penjaga, had kuasa penjaga dan kuasa mahkamah membatalkan hak penjagaan.
Yang kelima, pelbagai - yang meliputi pengiktirafan kepada perkahwinan yang dilakukan di luar negara atau negeri, penentuan bapa bagi anak yang dilahirkan, masalah isteri yang ditinggalkan oleh suami dan masalah perkahwinan yang tertakluk pada undang-undang negara asing; dan penalti bagi kesalahan yang melibatkan undang-undang keluarga Islam.
            Aspek wali termasuk dalam perkara  pertama di atas, iaitu syarat-syarat sah perkahwinan. Keseluruhan undang-undang keluarga Islam di negeri di Malaysia mempunyai peruntukan berkaitan dengan orang yang boleh mengakadnikahkan perkahwinan. Bagi Wilayah Persekutuan, Johor, Kedah, Kelantan, Melaka, Pulau Pinang, Perlis, Sabah dan Selangor, undang-undang yang berkuat kuasa menjelaskan orang yang boleh mengakadnikahkan perkahwinan menurut hukum syarak terdiri daripada individu yang berikut yang pertama wali di hadapan pendaftar kedua,  wakil wali di hadapan dan dengan kebenaran pendaftar ketiga, pendaftar sebagai wakil wali dan keempat, wali Raja sekiranya suatu perkahwinan itu melibatkan seorang perempuan yang tiada mempunyai wali daripada nasab. Bagi negeri tersebut, hanya individu yang disenaraikan sahaja boleh melakukan akad nikah. Dapat diperhatikan, kedudukan wali ditempat yang pertama untuk melakukan akad nikah dan hendaklah dilakukan di hadapan pendaftar. Namun akad nikah itu boleh dilakukan oleh wakil wali dengan syarat dilakukan di hadapan dan dengan kebenaran pendaftar. Seterusnya undang-undang membenarkan akad pernikahan dilakukan oleh wali hakim dalam kes seseorang perempuan itu tidak mempunyai wali daripada nasab. Negeri Pahang dan Perak juga mempunyai peruntukan yang sama seperti negeri di atas. Namun, kedua-dua negeri terbabit menggunakan istilah “wali hakim” yang merujuk kepada wali Raja. Demikian juga halnya dengan negeri Sarawak terdapat pertambahan dalam subseksyen 6(3) Ordinan Undang-undang Keluarga Islam, 2001 (Ordinan 43 Tahun 2001) memperuntukkan kuasa kepada Yang di-Pertua Negeri untuk: (a) Melantik dan mentauliahkan ketua hakim syarie menjadi wali hakim bagi perempuan yang tidak mempunyai wali atau dalam mana-mana keadaan wali berpindah kepada wali hakim menurut undang-undang Islam; dan (b) Memberikan kuasa istikhlap kepada ketua hakim syarie untuk melantik mana-mana orang yang difikirkannya layak bagi mengakadnikahkan perempuan yang tidak mempunyai wali atau dalam mana-mana keadaan wali berpindah kepada wali hakim menurut undang-undang IsIam. Bagi Negeri Sembilan pula, juga terdapat sedikit penambahan berbanding dengan negeri lain. Di negeri ini, orang yang boleh mengakadnikahkan sesuatu perkahwinan meliputi: (a) wali di hadapan ketua pendaftar atau pendaftar; (b) wakil wali di hadapan dan dengan kebenaran ketua pendaftar atau pendaftar; (c) ketua pendaftar atau pendaftar sebagai wakil wali; dan (d) wali Raja sekiranya suatu perkahwinan itu melibatkan seorang perempuan yang tidak mempunyai wali daripada nasab.34 Pertambahan yang wujud ialah undang-undang turut membenarkan akad pernikahan dilakukan oleh wali di hadapan ketua pendaftar atau pendaftar atau wakil wali di hadapan dan dengan kebenaran ketua pendaftar atau pendaftar. Bagi negeri Terengganu, peruntukan bagi orang yang boleh mengakadnikahkan perkahwinan lebih ringkas. Seksyen 6 Enakmen Undang-Undang Pentadbiran Keluarga Islam (Enakmen 12 Tahun 1985) memperuntukkan bahawa sesuatu perkahwinan di Terengganu hendaklah mengikut peruntukan enakmen ini dan hendaklah diakadnikahkan mengikut hukum syarak hanya oleh wali, dengan kebenaran pendaftar atau seorang jurunikah sebagai wakil wali, manakala berkaitan dengan penggunaan wali hakim pula adalah berdasarkan seksyen 11(b). Dapat diperhatikan keseluruhan undang-undang keluarga Islam menetapkan wali sebagai orang yang berhak untuk mengakadnikahkan sesuatu perkahwinan. Keadaan ini selari dengan pandangan daripada jumhur. Demikian juga penjelasan berkaitan dengan kuasa yang ada pada wali hakim untuk mengakadnikahkan seseorang perempuan yang tidak ada wali nasab dalam perkahwinan.
DEFINISI WALI HAKIM BAGI SETIAP NEGERI DI MALAYSIA
Keseluruhan negeri mempunyai peruntukan dalam undang-undangnya berkaitan dengan tafsiran wali hakim. Namun, terdapat perbezaan dari segi peruntukan antara negeri yang boleh diklasifikasikan seperti yang berikut, bagi Negeri Wilayah-wilayah Persekutuan, Melaka, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Perlis dan Sabah Negeri ini mempunyai peruntukan yang sama. Tafsiran yang diberikan terhadap istilah “wali Raja” merujuk wali yang ditauliahkan oleh YDPA, dalam hal Wilayah-wilayah Persekutuan, Melaka, Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak, atau oleh Raja, dalam hal sesuatu negeri lain, untuk mengahwinkan perempuan tidak mempunyai wali daripada nasab.
Bagi Negeri Johor, Kedah dan Pahang Ketiga-tiga negeri ini mempunyai peruntukan yang sama. Wali Raja merujuk wali hakim yang ditauliahkan oleh DYMM Sultan, untuk mengahwinkan perempuan yang tidak mempunyai wali daripada nasab. Namun begitu, terdapat sedikit perbezaan bagi negeri Pahang yang menggunakan istilah wali hakim dalam peruntukan undang-undangnya.
Negeri Kelantan, peruntukan yang ada hampir sama dengan peruntukan di negeri Johor, Kedah dan Pahang. Namun terdapat sedikit pertambahan. “Wali Raja” ertinya wali yang ditauliahkan oleh Kebawah DYMM AI-Sultan Kelantan, untuk mengahwinkan mana-mana perempuan yang tidak mempunyai wali daripada nasab atau yang diharuskan oleh syarak.
Negeri Perak, berbeza daripada negeri lain, Perak menggunakan istilah “wali hakim” yang merujuk wali Raja yang bererti wali yang ditauliahkan oleh DYMM Sultan untuk mengahwinkan perempuan yang tidak mempunyai wali daripada nasab mengikut hukum syarak atau perempuan yang walinya enggan menikahkannya tanpa suatu sebab yang munasabah mengikut hukum syarak.
Negeri Sarawak, bagi negeri Sarawak, diperuntukkan “wali hakim” ertinya wali yang dilantik dan ditauliahkan oleh YDP Negeri di bawah seksyen 6(3) untuk mengahwinkan perempuan yang tidak mempunyai wali daripada nasab.
Negeri Selangor, peruntukan di negeri Selangor hampir sama dengan Wilayah-wilayah Persekutuan, Melaka dan Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Perlis dan. “Wali Raja” ertinya wali yang ditauliahkan oleh DYMM Sultan Selangor, dalam hal Negeri Selangor, oleh YDPA, dalam hal Wilayah Persekutuan, Melaka, Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak, atau oleh Raja, dalam sesuatu negeri lain, untuk mengahwinkan perempuan yang tidak mempunyai wali daripada nasab.
Negeri Terengganu, peruntukan yang ada hampir sama dengan peruntukan di negeri Perak tetapi lebih ringkas. “Wali Raja” ertinya seseorang yang diberikan kuasa dengan tauliah oleh Raja untuk menjadi wali dalam perkahwinan bagi mana-mana perempuan yang tidak mempunyai wali menurut hukum syarak.
Dapat diperhatikan bahawa keseluruhan undang-undang yang ada memberikan definisi berkaitan dengan wali hakim. Syarat pentauliahan oleh pemerintah merupakan elemen penting bagi membolehkan seseorang itu bertindak sebagai wali hakim. Ketiadaan tauliah dapat memberikan kesan kepada pernikahan dan boleh dibawa ke mahkamah bagi menghukumkan sesuatu pernikahan itu sebagai tidak sah. Sebagai contoh, dalam Perkara Permohonan: Rukman Mustapha [1997] 3 LNS 18, kekeliruan wujud apabila pernikahan yang diakadkan oleh wali hakim yang tidak mempunyai tauliah. Kesannya, pernikahan yang diadakan di selatan Thailand itu adalah tidak sah. Hal ini memperlihatkan ketidakfahaman terhadap maksud wali hakim yang layak untuk mengakadnikahkan pasangan dalam kes ketiadaan wali nasab umpamanya. Perkara yang sama juga boleh dirujuk dalam kes Mohd Shahril Puteh lwn Siti Zaharah Che Tak [2010]1 CLJ (Sya) 251. Selain tauliah yang diperlukan oleh wali hakim, penggunaan wali hakim juga mestilah tidak bertentangan dengan undang-undang Islam yang berkuat kuasa. Hal ini dijelaskan dalam kes Ardawati Jamian lwn Zikra Hj. Mohd Ali & Anor [2010] 1 CLJ (Sya) 37, apabila Mahkamah membenarkan pernikahan yang diakadnikahkan oleh seorang Pendaftar Nikah yang bertindak sebagai wali hakim yang bertauliah. Penggunaan wali hakim juga perlu mematuhi prosedur perundangan yang telah ditetapkan. Kegagalan berbuat demikian akan mengakibatkan pernikahan tidak sah akad nikah seperti yang berlaku dalam kes Dalam Perkara Khori Bt. Ahmad & Satu Lagi [2005] 1 CLJ (Sya) 196. Akibat kegagalan mematuhi prosedur menurut seksyen 11 dan seksyen 16 Enakmen Undang-Undang Pentadbiran Keluarga Islam, (Terengganu), 1985, mahkamah memutuskan perkahwinan itu sebagai suatu akad nikah yang fasid menurut hukum syarak, dan merupakan suatu akad nikah yang tidak diakui dan tidak boleh didaftarkan di bawah enakmen. Berdasarkan peruntukan tersebut, dapat dikenal pasti wujud perbezaan penggunaan istilah yang merujuk wali hakim. Ada negeri yang menggunakan istilah “wali hakim” dan ada negeri yang menggunakan istilah “wali Raja”. Kewujudan dua istilah ini pada pandangan penulis, boleh menimbulkan kekeliruan. Adalah wajar untuk diseragamkan antara negeri. Penggunaan istilah “wali hakim” adalah paling sesuai untuk mengelakkan kekeliruan berbanding dengan wali Raja. Hal ini demikian kerana walaupun pada hakikatnya, wali hakim merupakan mereka yang dilantik dan ditauliahkan oleh pemerintah negeri untuk mengahwinkan perempuan yang tidak mempunyai wali menurut syarak, ada wali hakim yang ditauliahkan oleh YDPA, DYMM Sultan/Raja dan ada yang ditauliahkan oleh YDP Negeri. Sehubungan dengan itu, keseragaman penggunaan istilah kepada “wali hakim” sahaja dilihat lebih sesuai untuk digunakan berbanding istilah yang lain. Demikian juga wujud perbezaan dalam tafsiran yang diberikan antara negeri apabila sebahagian negeri hanya menjelaskan secara umum sebab yang membolehkan penggunaan wali hakim untuk mengakadnikahkan sesuatu pernikahan, iaitu apabila sabit seseorang perempuan itu tidak mempunyai wali nasab. Terdapat negeri yang memberikan tafsiran dengan menjelaskan penggunaan wali hakim berdasarkan sebab yang diharuskan syarak. Terdapat juga negeri yang secara spesifik dalam tafsirannya menjelaskan sebab berpindah wali kepada wali hakim berasaskan hukum syarak dan ketika berlakunya wali enggan menikahkan seseorang perempuan.[11]
IZIN DAN WAKALAH WALI
Setiap bakal pasangan pengantin di Malaysia perlu melengkapkan borang dan surat izin dan wakalah wali. Borang ini hanya perlu diisi seandainya wali kepada bakal pengantin perempuan tidak dapat menghadirkan diri pada hari majlis pernikahan(akad nikah).  Borang ini merupakan Enakmen Undang-undang Keluarga Islam [ subSeksyen 3 (a ) ] di Malaysia. Pada borang izin dan wakalah wali ini perlu diisi oleh bakal pengantin perempuan kemudian, maklumat-maklumat yang telah dilengkapkan oleh bakal pengantin perempuan akan dilafazkan di hadapan Pendaftar/ Penolong pendaftar dan lafaz tersebut akan disahkan oleh Pendaftar/Penolong pendaftar dengan menandatangani di ruangan yang ditetapkan. [12]

PERBINCANGAN
            Kesimpulan awal daripada perbincangan makalah ini, berdasarkan perspektif fiqh, telah wujud definisi dalam perbincangan para fuqaha terhadap istilah wali, wali ijbar dan wali hakim sebagai individu penting dan berkuasa dalam melangsungkan sesuatu pernikahan. Dari sudut undang-undang keluarga Islam yang berkuat kuasa di Malaysia, dapat diperhatikan keseluruhan negeri mempunyai peruntukan berkaitan dengan wali dalam pernikahan yang merupakan salah satu rukun yang perlu dipenuhi oleh semua pasangan yang akan melangsungkan pernikahan
Dari sudut undang-undang keluarga Islam yang berkuat kuasa, beberapa perkara perlu diberikan perhatian. Walaupun tidak dinafikan, keseluruhan undang-undang keluarga Islam yang berkuat kuasa mempunyai peruntukan berkaitan dengan wali pernikahan, namun wujud perbezaan antara negeri sebagaimana dijelaskan dalam perbincangan sebelum ini. Dalam bab definisi wali hakim mengikut negeri di Malysia seperti mana yang telah dijelaskan, dapat dilihat negeri Kedah dan Perak mempunyai peruntukan tafsiran bagi istilah wali. Negeri Terengganu pula tidak memberikan tafsiran berkaitan dengan wali mujbir. Keseluruhan negeri mempunyai tafsiran berkaitan dengan wali hakim. Walaupun tafsiran yang diberikan oleh undang-undang yang berkuat kuasa terhadap istilah terbabit, tetapi istilah sedia ada ini masih belum mampu menjelaskan hakikat sebenar istilah wali, wali ijbar dan wali hakim sebagai individu penting dalam melangsungkan akad pernikahan. Kajian juga mendapati, undang-undang yang wujud tidak menjelaskan secara terperinci perihal berkaitan dengan wali, wali ijbar dan wali hakim. Keadaan ini menggambarkan wujudnya kekurangan dan ketidakselarasan antara negeri dalam menyediakan peruntukan berkaitan dengan definisi wali, wali ijbar dan wali hakim. Perkara ini sewajarnya diberikan perhatian dalam usaha kerajaan untuk menyeragamkan pentadbiran undang-undang Islam antara negeri khususnya undang-undang keluarga Islam. Antara keseluruhan undang-undang tersebut, penulis berpendapatbahawa Enakmen Undang-undang Keluarga Islam (Kedah Darul Aman) 2008 (Enakmen 11 Tahun 2008) merupakan undang-undang yang terbaik dan dapat dijadikan panduan kepada negeri lain dalam menampung kekurangan yang wujud. Selain menyediakan tafsiran bagi ketiga-tiga istilah tersebut, enakmen tersebut turut mempunyai huraian lebih terperinci berkaitan dengan aspek wali. Hal ini meliputi senarai orang yang layak bertindak sebagai wali, peruntukan berkaitan dengan keizinan perempuan yang bakal menjadi isteri kepada walinya, peruntukan berkaitan dengan sebab berpindah wilayah nikah daripada wali akrab kepada wali ab‘ad dan  222 KANUN [JULAI 2015] peruntukan berkaitan dengan sebab berpindah wilayah nikah daripada wali khas kepada wali am (wali hakim). Dilihat secara perbandingan antara definisi yang telah diberikan oleh undang-undang yang berkuat kuasa di Malaysia dengan definisi yang diberikan oleh fuqaha, beberapa perkara dapat diperhatikan. Penulis berasa kekurangan wujud dalam memberikan definisi wali (Kedah dan Perak), penjelasan “kuasa syarak yang diberikan kepada wali” merupakan satu elemen yang penting. Sekiranya pihak berwajib mengambil kira takrifan yang telah diberikan oleh para fuqaha untuk penambahbaikan undang-undang sedia ada maka hal itu merupakan suatu yang sangat baik untuk dilaksanakan. Penulis berasa ada baiknya menerima takrifan yang diberikan oleh Badran Abu al-Aynayn Badran yang menjelaskan bahawa istilah “wali” itu membawa maksud “kuasa syarak yang diberikan kepada wali untuk menguruskan akad nikah dan untuk membelanjakan harta serta melaksanakan perintah tersebut”.  Istilah “kuasa syarak” adalah sangat penting untuk dimasukkan kerana dalam apa-apa kekeliruan undang-undang berkaitan dengan kuasa wali, maka rujukannya sudah pasti kepada sumber yang diiktiraf oleh syarak. Majoriti negeri (kecuali Terengganu) menjelaskan bahawa kuasa wali mujbir, iaitu kuasa menikahkan yang ada pada bapa dan datuk sebelah bapa adalah selari dengan perspektif fiqh. Namun, adalah lebih baik sekiranya dimasukkan juga setakat mana kuasa yang ada pada wali mujbir. Dalam hal ini, penulis melihat wujudnya lakuna dalam undang-undang sedia ada. Oleh itu, wajar sekiranya perkara ini dimasukkan kuasa dan had kuasa yang ada pada mereka dalam usaha menjelaskan lagi definisi wali mujbir. Takrifan wali hakim seperti yang telah dikenal pasti dan dibincangkan dilihat selari dengan takrifan yang dibincangkan dalam perspektif fiqh. Hal ini terutamanya dinyatakan dalam takrifan yang diberikan oleh Ahmad alHasri, iaitu beliau mendefinisikan wali hakim ialah sultan atau hakim atau sesiapa sahaja yang dilantik dan diberikan kuasa kepadanya untuk menjadi wali ketika ketiadaan wali khas dengan sebab pertalian kekeluargaan misalnya.[13]
                                                                                                                                     




KESIMPULAN
Perbincangan dalam makalah ini sangat penting dalam menjelaskan definisi kepada istilah wali, wali mujbir dan wali hakim yang merupakan inti pati dalam memahami peranan mereka dalam proses akad nikah sesuatu pernikahan. Fuqaha telah menyediakan landasan syarak sebagai panduan dalam membentuk undang-undang keluarga Islam agar lebih sempurna. Sementara itu, undang-undang keluarga Islam yang berkuat kuasa di negeri-negeri di Malaysia masih memerlukan penambahbaikan dalam menjelaskan definisi wali, wali mujbir dan wali hakim. Pihak berwajib perlulah meneliti juga pandangan yang telah diutarakan oleh para fuqaha dalam usaha menjelaskan lagi peruntukan undang-undang yang ada agar selari dengan hukum syarak. Langkah penambahbaikan sangat wajar demi menjadikan undang-undang ini lebih lengkap
dalam mengatur aspek pernikahan orang Islam di Malaysia dan berupaya mengelak sebarang kemungkinan pertikaian yang berpunca daripada peruntukan sedia ada.


[1] FIQH 4 MAZHAB JUZUK 4,5. SYAIKH ABDUL RAHMAN AL-JAZAIRI (27-30)
[2] PANDUAN FIQH MUNAKAHAT. YAZID HJ MAAROF MOHAMAD KAMIL AB MAJID (12-13)
[3] Emunakahat. JABATAN AGAMA ISLAM SARAWAK
[4] www.jais.gov.my JABATAN AGAMA ISLAM SELANGOR
[5] SHAHIH AL-JAMI. No.7298
[6] PANDUAN FIQH MUNAKAHAT. YAZID HJ MAAROF MOHAMAD KAMIL AB MAJID
[7] PANDUAN FIWH MUNAKAHAT. YAZID HJ MAAROF MOHAMAD KAMIL AB MAJID

[8] www.sistersinislam.org.my
[9] PANDUAN PENGURUSAN NIKAH DI MALAYSIA (JAKIM)
[10] PANDUAN PENGURUSAN NIKAH DI MALAYSIA (JAKIM)
[11] SYARIAH DAN UNDANG-UNDANG. NIK SALIDA SUHAILA NIK SALEH
[12] PANDUAN PENGURUSAN NIKAH DI MALAYSIA. (JAKIM)
[13] DEFINISI WALI DALAM PERNIKAHAN: PERSPEKTIF FIQH DAN UNDANG-UNDANG KELUARGA ISLAM DI MALAYSIA
MOHAMMAD AZAM HUSSAIN (UNIVERSITI UTARA MALAYSIA)


SEKIAN SAHAJA,
MOHON MAAF SEKIRANYA ADA KEKURANGAN 😉😉😉
ASSALAMUALAIKUM.