ISI KANDUNGAN
BIL
|
PERKARA
|
MUKA SURAT
|
1.
|
PENDAHULUAN
|
1
|
2.
|
PENGERTIAN
WALI
|
2-4
|
3.
|
SUSUNAN WALI
|
4
|
4.
|
SYARAT-SYARAT
MENJADI WALI
|
5-6
|
5.
|
KATEGORI WALI
|
7-8
|
6.
|
SEBAB
PERPINDAHAN WALI NASAB KEPADA WALI HAKIM
|
9-10
|
7.
|
DEFINISI WALI
DALAM PERNIKAHAN DARI SUDUT UNDANG-UNDANG KELUARGA ISLAM DI MALAYSIA
|
11
|
8.
|
UNDANG-UNDANG
KELUARGA ISLAM DI MALAYSIA
|
11-12
|
9.
|
DEFINISI WALI
HAKIM BAGI SETAIP NEGERI DI MALAYSIA
|
12-13
|
10.
|
IZIN DAN
WAKALAH WALI
|
13
|
11.
|
PERBINCANGAN
|
13-14
|
12.
|
KESIMPULAN
|
15
|
PENDAHULUAN
Pada zaman globalisasi ini, pelbagai isu-isu
permasalahan berlaku terutama sekali permasalahan tentang institusi
kekeluargaan. Seandainya keluarga bahagia, ia akan membentuk masyarakat yang
hebat da sejahtera. Sebaliknya jika keluarga porak peranda lambat laun
masyarakat akan binasa. Justeru itu, Allah mesyariatkan perkahwinan sebagai
penyelesaian kepada permasalahan tersebut.
Perkahwinan dari sudut
bahasa perkataan nikah itu berasal daripada bahasa Arab yang bermakna himpun,
kumpul dan cantum. Menurut syariah, nikah ialah satu akad untuk mengharuskan perhubungan (persetubuhan)
antara lelaki dan perempuan menggunakan lafaz nikah, tazwij atau
terjemahannya.
Namun, apa yang saya
bincangkan dalam bab perkahwinan ini adalah, berkaitan tentang individu yang
berada dalam bidang kuasanya untuk menjadi wali kepada bakal pengantin
perempuan terutama sekali dalam kategori Wali Hakim dan penjelasan berkaitan
wali dalam pernikahan. Perkara ini perlu dibincangkan bagi mengelakkan
masyarakat Islam di Malaysia jelas akan hal ini. Justeru, saya akan
membincangkan tentang tajuk Wali Dalam Pernikahan (Wali Hakim) Dan Perlaksanaannya Di Malaysia.
PENGERTIAN WALI
Menurut bahasa, kesanggupan
bertindak, menguruskan atau kekuasaan mentadbir sesuatu manakala dari segi
istilah pula, orang yang memiliki atau diberikan kuasa Syara’ untuk mengangkat
nikah.
Adapun
makna kata pendapat yang lain, wali dalam nikah adalah orang yang menentukan
sahnya akad. Akad nikah tidak sah dengan ketiadaannya. Wali itu seperti bapa,
orang yang diwasiatkan, karib kerabat yang dekat ( al-Qarib al-Ashib) , orang
yang membebaskan hamba, penguasa dan raja.[1]
Antara
rukun nikah adalah wali. Namun demikian, ada kalanya, pasangan yang ingin
melangsungkan perkahwinan boleh menggunakan wali hakim. Adalah wajar jika kita
merujuk kepada pengertian wali secara umum dan pembahagiannya. Kemudian kita
ikuti dengan penjelasan tentang wali hakim: definisi, kedudukan dan sebab-sebab
yang membolehkannya berperanan di dalam sesuatu perkahwinan.
Wali dalam urusan perkahwinan ialah
seorang yang memiliki kuasa mengahwinkan seseorang anak perempuan sama ada dia
adalah penjaganya ataupun bukan. Kewujudan wali adalah penting bagi mengesahkan
sesuatu perkahwinan. Wali (di dalam Mazhab Shafi`i) merupakan salah satu
rukun perkahwinan. Tanpa wali atau keizinannya kepada wakilnya, sesuatu
perkahwinan itu di hukum tidak sah. Hukum ini adalah merujuk kepada sebuah
Hadis Rasulullah s.a.w yang bermaksud: Siapa sahaja perempuan yang berkahwin
tanpa izin walinya, maka perkahwinannya itu batal (tidak sah), jika dia
disetubuhi (oleh lelaki yang mengahwininya itu) maka dia berhak mendapat
maskahwin kerana dia (iaitu lelaki itu) telah menghalalkan kemaluannya dan jika
mereka (iaitu para wali) berbalah, maka sultanlah yang menjadi wali bagi
sesiapa yang tidak mempunyai wali (riwayat al-Darimi, al-Hakim, al-Baihaqi dan
Abu Daud al-Tayalisi).[2]
Berdasarkan kepada Hadis di atas,
ulama' membahagikan wali kepada dua peringkat; iaitu wali nasab dan wali hakim
atau disebut juga sebagai wali sultan. Wali nasab ialah orang yang mempunyai
pertalian keturunan dengan seseorang perempuan yang bakal berkahwin, seperti
bapanya, datuknya dan lain-lain.
Wali hakim ialah Ketua Negara Islam atau
wakilnya seperti Kadi Besar, Kadi-kadi Daerah atau mereka yang mendapat tauliah
daripada Pejabat-pejabat Kadi Daerah, biasanya mereka ini terdiri daripada imam
masjid, bilalnya atau seorang alim kampung.
Wali hakim bertindak sebagai wali
kepada pengantin perempuan yang tidak mempunyai wali. Menurut Seksyen 2(1) Akta
Undang-undang Keluarga Islam Wilayah Persekutuan, wali hakim bererti wali yang
ditauliahkan oleh Yang diPertuan Agong dalam hal Wilayah Persekutuan, Pulau
Pinang, Sabah dan Sarawak atau oleh Raja dalam hal sesuatu negeri lain, untuk
mengahwinankan perempuan yang tidak mempunyai wali dari nasab. Terdapat
beberapa situasi di mana wali hakim boleh digunakan.
MENURUT ISTILAH SYARAK
Para sarjana Islam telah memberikan
pelbagai definisi mengenai wali atau perwalian ini dari sudut istilah syarak.
Antaranya ialah, Wahbah al-Zuhayli mendefinisikan perwalian dengan
maksud kuasa yang membolehkan seseorang untuk melakukan akad atau membelanjakan
harta tanpa keizinan orang lain. Menurut al-Sayyid Sabiq, perwalian
bermaksud suatu hak menurut syarak yang berkuasa melaksanakan perintah atas
orang lain dengan paksa. Menurut Badran Abu al-Aynayn Badran,
perwalian ialah kuasa syarak yang diberikan kepada wali untuk menguruskan akad
nikah dan untuk membelanjakan harta serta melaksanakan perintah tersebut. Menurut Abdul Karim Zaidan, perwalian
ialah kekuasaan secara syarak terhadap diri dan harta mengikut turutan
pelaksanaan kedua-duanya. Menurut Muhammad Muhyiddin Abdul Hamid,
perwalian bermaksud orang yang berhak dan berkuasa untuk melakukan hukuman bagi
sesiapa yang berada di bawah jagaannya menurut syarak sama ada dengan keizinan
atau paksaan. Muhammad Salam Madkur mengatakan bahawa perwalian
ialah kekuasaan yang diberikan oleh syarak untuk membolehkan orang tersebut mengadakan
akad atas diri dan harta untuk melaksanakan kedua-duanya menurut syarak.
Berdasarkan definisi yang telah
diberikan oleh para sarjana Islam tersebut, walaupun dengan olahan yang berbeza
tetapi dapat memberikan pengertian yang sama, iaitu bermaksud, seorang lelaki
yang ada kuasa untuk menikahkan seseorang perempuan yang berada di bawah tanggungannya.
SUSUNAN WALI PERNIKAHAN
Susunan yang paling terawal adalah,
bapa kandung kepada bakal pengantin perempuan, kemudian, datuk dan ke atas dan
seterusnya, saudara lelaki seibu sebapa (Adik-Beradik). Saudara lelaki sebapa
(Adik-Beradik). Anak lelaki daripada saudara lelaki seibu Ssbapa (Anak Saudara)
. Anak lelaki daripada saudara lelaki sebapa dan ke bawah (Anak Saudara).
Saudara lelaki bapa seibu sebapa (Bapa
Saudara).[3] Saudara lelaki bapa sebapa
(Bapa Saudara). Anak lelaki daripada saudara lelaki bapa seibu sebapa (Sepupu). Anak lelaki daripada saudara lelaki bapa
sebapa dan ke bawah (Sepupu). Bapa saudara lelaki kepada bapa kepada bapa seibu
sebapa (Datuk Saudara). Bapa saudara lelaki kepada bapa kepada bapa sebapa
(Datuk Saudara). Anak saudara lelaki kepada bapa kepada bapa seibu sebapa
(Sepupu Kepada Bapa). Anak saudara lelaki lepada bapa kepada bapa sebapa
(Sepupu Kepada Bapa). Yang terakhir sekali, merupakan Wali Hakim / Wali Raja /
Wali Sultan.[4]
SYARAT-SYARAT MENJADI WALI
Adapun syarat untuk wali, yang
pertama sekali ialah mestilah dari orang yang berakal, makna kata lain waras.
Mampu mempertimbangkan sesuatu dengan rasional.
Yang keduanya, baligh. Orang yang menjadi wali
mestilah sudah baligh. Sudah masuk peringkat usia yang matang.
Seterusnya, merdeka. Bebas daripada
mana-mana hubungan perhambaan, tidak menjadi hamba kepada mana-mana orang.
Seterusnya, kesamaan agama iaitu Islam.
Maka tidak sah wali kafir untuk orang Islam lelaki dan perempuan. Begitu pula
tidak sah perwalian orang Islam untuk orang kafir lelaki atau perempuan. Adapun
orang kafir menjadi wali bagi wanita kafir adalah, meskipun berbeza agamanya. Dan
orang yang keluar dari agama (murtad) tidak boleh menjadi wali bagi
siapa-siapapun.
Kemudian, adil bukan dari kalangan orang
yang fasik. Maksud adil di sini ialah ,
meletakkan sesuatu pada tempatnya, tidak memberatkan sebelah pihak. Sebagian
ulama menjadikan perkara ini sebagai syarat, tapi sebagian lain mencukupkan
dengan syarat sebelumnya. Sebagian lagi mencukupkan syarat dengan kemaslahatan
bagi yang diwalikan untuk menikahkannya.
Syarat seterusnya, adalah mestilah lelaki, berdasarkan sabda Nabi
sallallahu’alaihi wa sallam,
لا تُزَوِّجُ الْمَرْأَةُ الْمَرْأَةَ وَلا تُزَوِّجُ الْمَرْأَةُ
نَفْسَهَا فَإِنَّ الزَّانِيَةَ هِيَ الَّتِي تُزَوِّجُ نَفْسَهَا (رواه ابن ماجة،
رقم 1782 وهو في صحيح الجامع 7298)
“Wanita tidak (dibolehkan) menikahkan wanita
lainnya. Dan wanita tidak boleh menikahkan dirinya sendiri. Karena wanita
pezina adalah yang menikahkan dirinya sendiri." (HR. Ibnu Majah, no. 1782. Hadits ini terdapat dalam Shahih
Al-Jami, no. 7298)
Yang
terakhirnya, bijak, iaitu orang yang mampu mengetahui kesetaraan (antara kedua
pasangan) dan permasalahan dalam pernikahan.
Para wali mestilah mengikut turutan menurut ahli fiqih. Maka tidak dibolehkan melangkaui
wali terdekat, kecuali jika wali terdekat tidak ada atau tidak memenuhi syarat.
Wali seorang wanita adalah bapanya, kemudian orang yang diwasiatkannya untuk
menjadi walinya, kemudian adalah datuknya
dari bapa sampai ke atas, kemudian, anak lelaki, kemudian cucu sampai ke
bawah. Kemudian saudara lelaki sekandung,
berikutnya saudara lelaki sebapa. kemudian anak dari keduanya. Kemudian paman sekandung, lalu paman sebapak,
.kemudian anak dari keduanya. Kemudian yang terdekat dari sisi keturunan dari
asobah seperti dalam waris. Kemudian penguasa muslim (dan orang yang menggantikannya
seperti Hakim) sebagai wali bagi yang tidak mempunyai perwalian.[5]
KATEGORI WALI
Waji Nasab adalah orang yang
memiliki kuasa syara’ untuk mengakadnikahkan perempuan daripada perempuan
daripada keturunannya yang berasakan pertalian darah yang sah. Wali Nasab
juga mempunyai bahagia- bahagiannya yang pertama ialah wali mujbir.
Maksud Wali Mujbir ialah bapa atau datuk sebelah bapa dan ke atas kepada
bakal pengantin perempuan.
Kedua ialah Wali ijbar, wali itu
boleh dibahagikan kepada dua bahagian, iaitu al-Qasirah dan al-Muta‘addiyyah.
Wali al-Qasirah ialah kuasa yang ada pada seseorang untuk menikahkan dirinya
sendiri. Para fuqaha bersependapat bahawa hak ini diperuntukkan kepada lelaki
yang akil baligh, boleh membuat keputusan sendiri dalam hal pernikahan tanpa
campur tangan orang lain. Wali alMuta‘addiyyah pula merujuk kuasa seseorang
untuk menikahkan orang lain.
Wali al-Muta‘addiyyah pula boleh dibahagikan
kepada tiga bahagian, yang pertama, berdasarkan kepada orang yang berhak
mewalikan iaitu “Al-Asliya” kuasa wali yang disabitkan daripada mula lagi dan
tidak memerlukan bantuan orang lain seperti wali bapa dan datuk yang sabit kerana
kebapaan. Kemudian “ Al-Niyabiyyah” kuasa wali yang diambil oleh orang lain
selain bapa dan datuk seperti wali bapa saudara. Yang keduanya, berdasarkan
orang yang berada di bawah kuasa walinya “ Al-Ijbar” kuasa penuh untuk
melakukan akad pernikahan terhadap perempuan yang masih gadis di bawah umur
secara paksa tanpa keizinan perempuan itu terlebih dahulu dengan lelaki yang
sekufu dengannya. “Al-Ikhtiyar:” kuasa penuh untuk melakukan akad pernikahan
tetapi tidak mempunyai kuasa mutlak untuk memaksa seseorang perempuan berkahwin.
Yang ketiga, berdasarkan kuasa perundangan. “Al-‘Ammah” Pensabitannya kepada ketua negara dan
pelaksanaannya secara perundangan dan bukannya peribadi. Kuasa ini terletak di
tangan pemerintah. “Al-Khassah” Pensabitannya kepada orang perseorangan dan
pelaksanaannya secara peribadi dan bukannya secara perundangan. Kuasa terletak
kepada para wali berdasarkan turutan perpindahan menurut hukum syarak.[6]
Seterusnya yang ketiga, Wali Raja, Wali
Sultan, Wali Hakim, Wali Am. Pembahagian wali ini adalah wali yang ditauliahkan oleh Seri Paduka Baginda
Yang Di-PertuanAgong atau DYMM Sultan atau Raja untuk mengahwinkan perempuan yang
tidak mempunyai wali nasab, wali ghaib, atau walinya enggan mengahwinkannya
tanpa suatu sebab yang munasabah mengikut Hukum Syara’. Hal ini meliputi juga
kadi yang diizinkan kerana dia merupakan naib kepada pemerintah. Badran Abu
al-‘Aynayn Badran menyatakan bahawa, wali hakim ialah pemerintah yang
mempunyai kuasa melaksanakan segala tindakan terhadap rakyatnya sama ada mereka
setuju atau tidak selagi tindakan itu untuk kebaikan mereka. Kuasa ini meliputi
hakim atau naibnya. Hakim juga berhak melantik sesiapa sahaja seperti kadi
untuk melaksanakannya. Ahmad al-Hasri pula mendefinisikan wali hakim ialah
sultan atau hakim atau sesiapa sahaja yang dilantik dan diberikan kuasa kepadanya
untuk menjadi wali ketika ketiadaan wali khas dengan sebab pertalian
kekeluargaan misalnya. Berdasarkan takrifan ini, dapat disimpulkan bahawa, wali
hakim ialah sultan yang merupakan pemerintah sesebuah negara Islam atau
naibnya, iaitu hakim atau kadi atau sesiapa sahaja yang diberikan kuasa oleh
sultan bagi mewakilinya untuk bertindak sebagai wali nikah kepada perempuan yang
tiada wali untuk melangsungkan pernikahan tersebut.
Akhir sekali, dalam bahagian kategori wali
dalam bab pernikahan adalah Wali Tahkim, maksudnya, seorang yang
dilantik oleh pasangan pengantin untuk menjalankan akad nikah di tempat yang
tiada nasab dan tiada Wali Raja / Wali Sultan / Wali Hakim / Wali Am dengan
syarat-syarat tertentu. Namun dalam konteks Negara Malaysia perkara ini tidak
dipakai kerana Malaysia masih mempunyai ketua Negara dan orang yang lebih
berhak menjadi wali kepada bakal pengantin perempuan.[7]
SEBAB-SEBAB PERPINDAHAN WALI NASAB
KEPADA WALI HAKIM
Yang pertama, sekiranya Wali Aqrab bakal
pengantin perempuan dalam haji atau umrah. Jika wali aqrab menunaikan haji atau umrah maka
hak walinya terlucut dan hak wali itu juga tidak berpindah kepada wali ab’ad,
tetapi hak wali itu berpindah kepada wali hakim. Ini adalah terkandung dalam
kitab Minhaj Talibin dalam bab Nikah. Sekiranya wali aqrab itu membuat wakalah
wali sebelum membuat haji atau umrah atau semasa ihram maka wakalah wali itu
tidak sah. Rasullullah saw bersabda: Orang yang ihram haji atau umrah tidak
boleh mengahwinkan orang dan juga tidak boleh berkahwin. (Riwayat Muslim).
Keduanya, bakal pengantin perempuan tidak
mempunyai wali nasab, ini terjadi sekiranya orang yang berkuasa syara’ mengakad
nikahkah perempuan yang daripada keturunannya sah itu sudah meninggal dunia
atau hilang tanpa dapat dikesan dan sebagainya. Orang yang berkuasa syara’ ini
bermaksud bapa kandung kepada bakal pengantin perempuan sekiranya bapanya telah
meninggal dunia peralihan wali kepada datuk sebelah bapa ke atas, sekiranya
datuknya juga telah meninggal dunia, orang yang boleh menjadi wali untuknya
adalah saudara lelaki seibu sebapa, dan seterusnya, saudara lelaki sebapanya.
Dan perwalian akan beralih kepada susunan-susunan orang yang layak menajdi wali
bagi pernikahannya.
Sebab yang ketiganya,Wali
enggan. Mengikut pendapat para Fuqaha bahawa
wali tidak boleh enggan untuk menikahkan perempuan yang dalam kewaliannya,
tidak boleh menyakitinya atau melarangnya berkahwin walhal pilihan perempuan
itu memenuhi kehendak syarak. Perbuatan wali menghalang atau enggan menikahkan
wanita tanpa ada alasan syarak adalah dilarang dan dianggap satu tindakan yang
zalim kepada wanita itu.
Menurut Jumhur Fuqaha (Shafie,
maliki dan hambali) apabila wali aqrab enggan menikahkan pengantin perempuan,
maka wali hakimlah yang menikahkannya. Rasullullah s.a.w. bersabda: Kalau
wali-wali itu enggan maka Sultan atau hakim menjadi wali bagi perempuan yang
tidak mempunyai wali (Riwayat Abu Daud dan At-Tamizi).[8]
Dalam kes Azizah bte Mat lawan Mat b Salleh
(1976, Jld.11.1JH) mengenai wali enggan di Mahkamah Kadi Perlis, Yang Arif
telah memutuskan, perempuan itu berhak mendapat wali Raja
atau Hakim untuk berkahwin. Kadi
menyatakan: Berdasarkan kepada hukum syarak, apabila seseorang wali itu tidak
mahu mewakilkan nikah anaknya kerana enggan atau berselisih faham, maka
bolehlah dinikahkan perempuan itu dengan berwalikan wali hakim atau wali raja
dengan alasan.[9]
Pertama : Dari riwayat Abu Daud, Ahmad
dan At-tamizi,Aishah r.a meriwayatkan Nabi s.a.w. telah bersabda : Jika mereka
berselisih, maka Sultan atau Rajalah wali bagi orang yang tidak ada wali.
Kedua : Rasullullah s.a.w. bersabda :
Kalau datang kepadamu lelaki beragama dan berakhlak baik, maka nikahkanlah ia.
Jika kamu tidak melakukannya, nescaya akan terjadi fitnah dan kerosakan yang
besar. Ini daripada riwayat At-Tamizi).
Ini bermakna wali yang enggan
menikahkan seseorang perempuan tanpa alasan munasabah mengikut syarak, maka hak
wali itu berpindah kepada wali hakim.
Seterusnya sebab yang keempat, anak
yang tidak sah tarafnya atau anak angkat. Anak tidak sah taraf atau anak yang
lahir sebelum adanya perkahwinan yang sah. Sekiranya anak yang tidak sah taraf
itu perempuan dan semasa dia berkahwin maka walinya ialah wali hakim. Begitu
juga dengan anak angkat. Jika anak angkat itu berasal daripada anak tidak sah
taraf maka walinya adalah wali hakim kerana anak itu dianggap tidak mempunyai
wali nasab.
Yang terakhir, saudara baru yang tiada
wali nasab. Bagi pengantin perempuan yang tidak mempunyai wali nasab seperti
mereka yang baru memeluk islam dan tiada saudara maranya yang memeluk Islam,
atau perempuan yang tidak mempunyai wali langsung, maka wali hakim yang akan
menjadi wali dalam perkahwinannnya, Rasullah saw bersabda Sultanlah menjadi
wali bagi perempuan yang tidak mempunyai wali,( Riwayat al Khamsak).[10]
DEFINISI WALI DALAM PERNIKAHAN DARI SUDUT
UNDANG-UNDANG KELUARGA ISLAM DI MALAYSIA
Bahagian ini membincangkan peruntukan berkaitan
dengan wali, wali ijbar dan wali hakim berdasarkan peruntukan Undang-undang
Keluarga Islam yang berkuat kuasa di Malaysia. Perbincangan dimulakan terlebih
dahulu dengan melihat kepada undang-undang keluarga Islam yang berkuat kuasa di
negeri seluruh Malaysia. Seterusnya perbincangan menjurus kepada definisi wali,
wali ijbar dan wali hakim sebagaimana diperuntukkan dalam undangundang terbabit.
UNDANG-UNDANG KELUARGA ISLAM YANG BERKUAT KUASA
MENGIKUT NEGERI DI MALAYSIA
Berdasarkan Perlembagaan Persekutuan,
perkara yang berkaitan dengan agama Islam terletak di bawah bidang kuasa
kerajaan negeri. Bidang keagamaan meliputi hukum syarak, undang-undang diri dan
keluarga termasuk di bawah bidang kuasa
kerajaan negeri. Berkaitan dengan undang-undang keluarga Islam, perkara yang
diberikan kuasa oleh Perlembagaan Persekutuan kepada negeri-negeri meliputi
aspek pertunangan, perkahwinan, perceraian, mas kahwin, nafkah, pengambilan
anak angkat, taraf anak, penjagaan anak, pemberian, pembahagian harta dan
amanah bukan khairat dan perkara yang seumpamanya.
Perkahwinan meliputi pertunangan,
syarat sah perkahwinan, syarat yang membolehkan perkahwinan itu didaftarkan,
mas kahwin, pendaftaran dan poligami.
Yang kedua, pembubaran perkahwinan
yang meliputi perceraian dengan talak, perceraian dengan perintah, perceraian
dengan tebus talak atau khuluk, perceraian dengan taklik, fasakh, anggapan
mati, pendaftaran perceraian, mutaah atau pemberian sagu hati sesudah bercerai
dan harta sepencarian. Yang ketiga, nafkah yang meliputi nafkah isteri,
anak-anak, nafkah-nafkah lain, kuasa mahkamah dalam membuat perintah nafkah dan
nafkah selepas perceraian.
Yang keempat, penjagaan yang
meliputi orang yang berhak menjaga anak serta kelayakan masing-masing, lama
tempoh penjagaan, perintah penjagaan oleh mahkamah, kuasa penjagaan atas harta,
pelantikan penjaga oleh mahkamah, pemecatan penjaga, had kuasa penjaga dan
kuasa mahkamah membatalkan hak penjagaan.
Yang kelima, pelbagai - yang
meliputi pengiktirafan kepada perkahwinan yang dilakukan di luar negara atau
negeri, penentuan bapa bagi anak yang dilahirkan, masalah isteri yang
ditinggalkan oleh suami dan masalah perkahwinan yang tertakluk pada
undang-undang negara asing; dan penalti bagi kesalahan yang melibatkan
undang-undang keluarga Islam.
Aspek wali termasuk dalam perkara pertama di atas, iaitu syarat-syarat sah perkahwinan.
Keseluruhan undang-undang keluarga Islam di negeri di Malaysia mempunyai
peruntukan berkaitan dengan orang yang boleh mengakadnikahkan perkahwinan. Bagi
Wilayah Persekutuan, Johor, Kedah, Kelantan, Melaka, Pulau Pinang, Perlis,
Sabah dan Selangor, undang-undang yang berkuat kuasa menjelaskan orang yang
boleh mengakadnikahkan perkahwinan menurut hukum syarak terdiri daripada individu
yang berikut yang pertama wali di hadapan pendaftar kedua, wakil wali di hadapan dan dengan kebenaran
pendaftar ketiga, pendaftar sebagai wakil wali dan keempat, wali Raja sekiranya
suatu perkahwinan itu melibatkan seorang perempuan yang tiada mempunyai wali
daripada nasab. Bagi negeri tersebut, hanya individu yang disenaraikan sahaja
boleh melakukan akad nikah. Dapat diperhatikan, kedudukan wali ditempat yang pertama
untuk melakukan akad nikah dan hendaklah dilakukan di hadapan pendaftar. Namun
akad nikah itu boleh dilakukan oleh wakil wali dengan syarat dilakukan di
hadapan dan dengan kebenaran pendaftar. Seterusnya undang-undang membenarkan
akad pernikahan dilakukan oleh wali hakim dalam kes seseorang perempuan itu
tidak mempunyai wali daripada nasab. Negeri Pahang dan Perak juga mempunyai
peruntukan yang sama seperti negeri di atas. Namun, kedua-dua negeri terbabit
menggunakan istilah “wali hakim” yang merujuk kepada wali Raja. Demikian juga
halnya dengan negeri Sarawak terdapat pertambahan dalam subseksyen 6(3) Ordinan
Undang-undang Keluarga Islam, 2001 (Ordinan 43 Tahun 2001) memperuntukkan kuasa
kepada Yang di-Pertua Negeri untuk: (a) Melantik dan mentauliahkan ketua hakim
syarie menjadi wali hakim bagi perempuan yang tidak mempunyai wali atau dalam
mana-mana keadaan wali berpindah kepada wali hakim menurut undang-undang Islam;
dan (b) Memberikan kuasa istikhlap kepada ketua hakim syarie untuk melantik mana-mana
orang yang difikirkannya layak bagi mengakadnikahkan perempuan yang tidak
mempunyai wali atau dalam mana-mana keadaan wali berpindah kepada wali hakim
menurut undang-undang IsIam. Bagi Negeri Sembilan pula, juga terdapat sedikit
penambahan berbanding dengan negeri lain. Di negeri ini, orang yang boleh
mengakadnikahkan sesuatu perkahwinan meliputi: (a) wali di hadapan ketua
pendaftar atau pendaftar; (b) wakil wali di hadapan dan dengan kebenaran ketua
pendaftar atau pendaftar; (c) ketua pendaftar atau pendaftar sebagai wakil
wali; dan (d) wali Raja sekiranya suatu perkahwinan itu melibatkan seorang
perempuan yang tidak mempunyai wali daripada nasab.34 Pertambahan yang wujud ialah
undang-undang turut membenarkan akad pernikahan dilakukan oleh wali di hadapan
ketua pendaftar atau pendaftar atau wakil wali di hadapan dan dengan kebenaran
ketua pendaftar atau pendaftar. Bagi negeri Terengganu, peruntukan bagi orang
yang boleh mengakadnikahkan perkahwinan lebih ringkas. Seksyen 6 Enakmen Undang-Undang
Pentadbiran Keluarga Islam (Enakmen 12 Tahun 1985) memperuntukkan bahawa
sesuatu perkahwinan di Terengganu hendaklah mengikut peruntukan enakmen ini dan
hendaklah diakadnikahkan mengikut hukum syarak hanya oleh wali, dengan
kebenaran pendaftar atau seorang jurunikah sebagai wakil wali, manakala
berkaitan dengan penggunaan wali hakim pula adalah berdasarkan seksyen
11(b). Dapat diperhatikan keseluruhan undang-undang keluarga Islam menetapkan
wali sebagai orang yang berhak untuk mengakadnikahkan sesuatu perkahwinan.
Keadaan ini selari dengan pandangan daripada jumhur. Demikian juga penjelasan berkaitan
dengan kuasa yang ada pada wali hakim untuk mengakadnikahkan seseorang
perempuan yang tidak ada wali nasab dalam perkahwinan.
DEFINISI WALI HAKIM BAGI SETIAP NEGERI DI
MALAYSIA
Keseluruhan negeri mempunyai
peruntukan dalam undang-undangnya berkaitan dengan tafsiran wali hakim. Namun,
terdapat perbezaan dari segi peruntukan antara negeri yang boleh diklasifikasikan
seperti yang berikut, bagi Negeri Wilayah-wilayah Persekutuan, Melaka, Negeri
Sembilan, Pulau Pinang, Perlis dan Sabah Negeri ini mempunyai peruntukan yang
sama. Tafsiran yang diberikan terhadap istilah “wali Raja” merujuk wali yang
ditauliahkan oleh YDPA, dalam hal Wilayah-wilayah Persekutuan, Melaka, Pulau
Pinang, Sabah dan Sarawak, atau oleh Raja, dalam hal sesuatu negeri lain, untuk
mengahwinkan perempuan tidak mempunyai wali daripada nasab.
Bagi Negeri Johor, Kedah dan Pahang Ketiga-tiga
negeri ini mempunyai peruntukan yang sama. Wali Raja merujuk wali hakim yang
ditauliahkan oleh DYMM Sultan, untuk mengahwinkan perempuan yang tidak mempunyai
wali daripada nasab. Namun begitu, terdapat sedikit perbezaan bagi negeri
Pahang yang menggunakan istilah wali hakim dalam peruntukan undang-undangnya.
Negeri Kelantan, peruntukan yang ada
hampir sama dengan peruntukan di negeri Johor, Kedah dan Pahang. Namun terdapat
sedikit pertambahan. “Wali Raja” ertinya wali yang ditauliahkan oleh Kebawah
DYMM AI-Sultan Kelantan, untuk mengahwinkan mana-mana perempuan yang tidak
mempunyai wali daripada nasab atau yang diharuskan oleh syarak.
Negeri Perak, berbeza daripada
negeri lain, Perak menggunakan istilah “wali hakim” yang merujuk wali Raja yang
bererti wali yang ditauliahkan oleh DYMM Sultan untuk mengahwinkan perempuan
yang tidak mempunyai wali daripada nasab mengikut hukum syarak atau perempuan
yang walinya enggan menikahkannya tanpa suatu sebab yang munasabah mengikut
hukum syarak.
Negeri Sarawak, bagi negeri Sarawak,
diperuntukkan “wali hakim” ertinya wali yang dilantik dan ditauliahkan oleh YDP
Negeri di bawah seksyen 6(3) untuk mengahwinkan perempuan yang tidak mempunyai
wali daripada nasab.
Negeri Selangor, peruntukan di
negeri Selangor hampir sama dengan Wilayah-wilayah Persekutuan, Melaka dan
Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Perlis dan. “Wali Raja” ertinya wali yang
ditauliahkan oleh DYMM Sultan Selangor, dalam hal Negeri Selangor, oleh YDPA,
dalam hal Wilayah Persekutuan, Melaka, Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak, atau
oleh Raja, dalam sesuatu negeri lain, untuk mengahwinkan perempuan yang tidak mempunyai
wali daripada nasab.
Negeri Terengganu, peruntukan yang
ada hampir sama dengan peruntukan di negeri Perak tetapi lebih ringkas. “Wali
Raja” ertinya seseorang yang diberikan kuasa dengan tauliah oleh Raja untuk
menjadi wali dalam perkahwinan bagi mana-mana perempuan yang tidak mempunyai
wali menurut hukum syarak.
Dapat diperhatikan bahawa
keseluruhan undang-undang yang ada memberikan definisi berkaitan dengan wali
hakim. Syarat pentauliahan oleh pemerintah merupakan elemen penting bagi
membolehkan seseorang itu bertindak sebagai wali hakim. Ketiadaan tauliah dapat
memberikan kesan kepada pernikahan dan boleh dibawa ke mahkamah bagi
menghukumkan sesuatu pernikahan itu sebagai tidak sah. Sebagai contoh, dalam
Perkara Permohonan: Rukman Mustapha [1997] 3 LNS 18, kekeliruan wujud apabila
pernikahan yang diakadkan oleh wali hakim yang tidak mempunyai tauliah.
Kesannya, pernikahan yang diadakan di selatan Thailand itu adalah tidak sah.
Hal ini memperlihatkan ketidakfahaman terhadap maksud wali hakim yang layak
untuk mengakadnikahkan pasangan dalam kes ketiadaan wali nasab umpamanya. Perkara
yang sama juga boleh dirujuk dalam kes Mohd Shahril Puteh lwn Siti Zaharah Che
Tak [2010]1 CLJ (Sya) 251. Selain tauliah yang diperlukan oleh wali hakim,
penggunaan wali hakim juga mestilah tidak bertentangan dengan undang-undang
Islam yang berkuat kuasa. Hal ini dijelaskan dalam kes Ardawati Jamian lwn Zikra
Hj. Mohd Ali & Anor [2010] 1 CLJ (Sya) 37, apabila Mahkamah membenarkan
pernikahan yang diakadnikahkan oleh seorang Pendaftar Nikah yang bertindak
sebagai wali hakim yang bertauliah. Penggunaan wali hakim juga perlu mematuhi
prosedur perundangan yang telah ditetapkan. Kegagalan berbuat demikian akan
mengakibatkan pernikahan tidak sah akad nikah seperti yang berlaku dalam kes
Dalam Perkara Khori Bt. Ahmad & Satu Lagi [2005] 1 CLJ (Sya) 196. Akibat kegagalan
mematuhi prosedur menurut seksyen 11 dan seksyen 16 Enakmen Undang-Undang Pentadbiran
Keluarga Islam, (Terengganu), 1985, mahkamah memutuskan perkahwinan itu sebagai
suatu akad nikah yang fasid menurut hukum syarak, dan merupakan suatu akad
nikah yang tidak diakui dan tidak boleh didaftarkan di bawah enakmen. Berdasarkan
peruntukan tersebut, dapat dikenal pasti wujud perbezaan penggunaan istilah
yang merujuk wali hakim. Ada negeri yang menggunakan istilah “wali hakim” dan
ada negeri yang menggunakan istilah “wali Raja”. Kewujudan dua istilah ini pada
pandangan penulis, boleh menimbulkan kekeliruan. Adalah wajar untuk
diseragamkan antara negeri. Penggunaan istilah “wali hakim” adalah paling
sesuai untuk mengelakkan kekeliruan berbanding dengan wali Raja. Hal ini
demikian kerana walaupun pada hakikatnya, wali hakim merupakan mereka yang
dilantik dan ditauliahkan oleh pemerintah negeri untuk mengahwinkan perempuan
yang tidak mempunyai wali menurut syarak, ada wali hakim yang ditauliahkan oleh
YDPA, DYMM Sultan/Raja dan ada yang ditauliahkan oleh YDP Negeri. Sehubungan
dengan itu, keseragaman penggunaan istilah kepada “wali hakim” sahaja dilihat
lebih sesuai untuk digunakan berbanding istilah yang lain. Demikian juga wujud
perbezaan dalam tafsiran yang diberikan antara negeri apabila sebahagian negeri
hanya menjelaskan secara umum sebab yang membolehkan penggunaan wali hakim
untuk mengakadnikahkan sesuatu pernikahan, iaitu apabila sabit seseorang
perempuan itu tidak mempunyai wali nasab. Terdapat negeri yang memberikan
tafsiran dengan menjelaskan penggunaan wali hakim berdasarkan sebab yang
diharuskan syarak. Terdapat juga negeri yang secara spesifik dalam tafsirannya
menjelaskan sebab berpindah wali kepada wali hakim berasaskan hukum syarak dan
ketika berlakunya wali enggan menikahkan seseorang perempuan.[11]
IZIN DAN WAKALAH WALI
Setiap bakal pasangan pengantin di
Malaysia perlu melengkapkan borang dan surat izin dan wakalah wali. Borang ini
hanya perlu diisi seandainya wali kepada bakal pengantin perempuan tidak dapat
menghadirkan diri pada hari majlis pernikahan(akad nikah). Borang ini merupakan Enakmen Undang-undang
Keluarga Islam [ subSeksyen 3 (a ) ] di Malaysia. Pada borang izin dan wakalah
wali ini perlu diisi oleh bakal pengantin perempuan kemudian, maklumat-maklumat
yang telah dilengkapkan oleh bakal pengantin perempuan akan dilafazkan di
hadapan Pendaftar/ Penolong pendaftar dan lafaz tersebut akan disahkan oleh
Pendaftar/Penolong pendaftar dengan menandatangani di ruangan yang ditetapkan. [12]
PERBINCANGAN
Kesimpulan
awal daripada perbincangan makalah ini, berdasarkan perspektif fiqh, telah
wujud definisi dalam perbincangan para fuqaha terhadap istilah wali, wali ijbar
dan wali hakim sebagai individu penting dan berkuasa dalam melangsungkan
sesuatu pernikahan. Dari sudut undang-undang keluarga Islam yang berkuat kuasa
di Malaysia, dapat diperhatikan keseluruhan negeri mempunyai peruntukan
berkaitan dengan wali dalam pernikahan yang merupakan salah satu rukun yang
perlu dipenuhi oleh semua pasangan yang akan melangsungkan pernikahan
Dari sudut undang-undang keluarga
Islam yang berkuat kuasa, beberapa perkara perlu diberikan perhatian. Walaupun
tidak dinafikan, keseluruhan undang-undang keluarga Islam yang berkuat kuasa
mempunyai peruntukan berkaitan dengan wali pernikahan, namun wujud perbezaan antara
negeri sebagaimana dijelaskan dalam perbincangan sebelum ini. Dalam bab
definisi wali hakim mengikut negeri di Malysia seperti mana yang telah
dijelaskan, dapat dilihat negeri Kedah dan Perak mempunyai peruntukan tafsiran
bagi istilah wali. Negeri Terengganu pula tidak memberikan tafsiran berkaitan
dengan wali mujbir. Keseluruhan negeri mempunyai tafsiran berkaitan dengan wali
hakim. Walaupun tafsiran yang diberikan oleh undang-undang yang berkuat kuasa
terhadap istilah terbabit, tetapi istilah sedia ada ini masih belum mampu
menjelaskan hakikat sebenar istilah wali, wali ijbar dan wali hakim sebagai
individu penting dalam melangsungkan akad pernikahan. Kajian juga mendapati,
undang-undang yang wujud tidak menjelaskan secara terperinci perihal berkaitan
dengan wali, wali ijbar dan wali hakim. Keadaan ini menggambarkan wujudnya
kekurangan dan ketidakselarasan antara negeri dalam menyediakan peruntukan
berkaitan dengan definisi wali, wali ijbar dan wali hakim. Perkara ini sewajarnya
diberikan perhatian dalam usaha kerajaan untuk menyeragamkan pentadbiran undang-undang
Islam antara negeri khususnya undang-undang keluarga Islam. Antara keseluruhan
undang-undang tersebut, penulis berpendapatbahawa Enakmen Undang-undang
Keluarga Islam (Kedah Darul Aman) 2008 (Enakmen 11 Tahun 2008) merupakan
undang-undang yang terbaik dan dapat dijadikan panduan kepada negeri lain dalam
menampung kekurangan yang wujud. Selain menyediakan tafsiran bagi ketiga-tiga istilah
tersebut, enakmen tersebut turut mempunyai huraian lebih terperinci berkaitan
dengan aspek wali. Hal ini meliputi senarai orang yang layak bertindak sebagai
wali, peruntukan berkaitan dengan keizinan perempuan yang bakal menjadi isteri
kepada walinya, peruntukan berkaitan dengan sebab berpindah wilayah nikah
daripada wali akrab kepada wali ab‘ad dan 222 KANUN [JULAI 2015] peruntukan berkaitan
dengan sebab berpindah wilayah nikah daripada wali khas kepada wali am (wali
hakim). Dilihat secara perbandingan antara definisi yang telah diberikan oleh undang-undang
yang berkuat kuasa di Malaysia dengan definisi yang diberikan oleh fuqaha,
beberapa perkara dapat diperhatikan. Penulis berasa kekurangan wujud dalam
memberikan definisi wali (Kedah dan Perak), penjelasan “kuasa syarak yang
diberikan kepada wali” merupakan satu elemen yang penting. Sekiranya pihak
berwajib mengambil kira takrifan yang telah diberikan oleh para fuqaha untuk
penambahbaikan undang-undang sedia ada maka hal itu merupakan suatu yang sangat
baik untuk dilaksanakan. Penulis berasa ada baiknya menerima takrifan yang diberikan
oleh Badran Abu al-Aynayn Badran yang menjelaskan bahawa istilah “wali” itu
membawa maksud “kuasa syarak yang diberikan kepada wali untuk menguruskan akad
nikah dan untuk membelanjakan harta serta melaksanakan perintah tersebut”. Istilah “kuasa syarak” adalah sangat penting
untuk dimasukkan kerana dalam apa-apa kekeliruan undang-undang berkaitan dengan
kuasa wali, maka rujukannya sudah pasti kepada sumber yang diiktiraf oleh
syarak. Majoriti negeri (kecuali Terengganu) menjelaskan bahawa kuasa wali mujbir,
iaitu kuasa menikahkan yang ada pada bapa dan datuk sebelah bapa adalah selari
dengan perspektif fiqh. Namun, adalah lebih baik sekiranya dimasukkan juga
setakat mana kuasa yang ada pada wali mujbir. Dalam hal ini, penulis melihat
wujudnya lakuna dalam undang-undang sedia ada. Oleh itu, wajar sekiranya
perkara ini dimasukkan kuasa dan had kuasa yang ada pada mereka dalam usaha
menjelaskan lagi definisi wali mujbir. Takrifan wali hakim seperti yang telah
dikenal pasti dan dibincangkan dilihat selari dengan takrifan yang dibincangkan
dalam perspektif fiqh. Hal ini terutamanya dinyatakan dalam takrifan yang diberikan
oleh Ahmad alHasri, iaitu beliau mendefinisikan wali hakim ialah sultan atau
hakim atau sesiapa sahaja yang dilantik dan diberikan kuasa kepadanya untuk
menjadi wali ketika ketiadaan wali khas dengan sebab pertalian kekeluargaan
misalnya.[13]
KESIMPULAN
Perbincangan dalam makalah ini
sangat penting dalam menjelaskan definisi kepada istilah wali, wali mujbir dan
wali hakim yang merupakan inti pati dalam memahami peranan mereka dalam proses
akad nikah sesuatu pernikahan. Fuqaha telah menyediakan landasan syarak sebagai
panduan dalam membentuk undang-undang keluarga Islam agar lebih sempurna.
Sementara itu, undang-undang keluarga Islam yang berkuat kuasa di negeri-negeri
di Malaysia masih memerlukan penambahbaikan dalam menjelaskan definisi wali,
wali mujbir dan wali hakim. Pihak berwajib perlulah meneliti juga pandangan
yang telah diutarakan oleh para fuqaha dalam usaha menjelaskan lagi peruntukan
undang-undang yang ada agar selari dengan hukum syarak. Langkah penambahbaikan
sangat wajar demi menjadikan undang-undang ini lebih lengkap
dalam mengatur aspek pernikahan
orang Islam di Malaysia dan berupaya mengelak sebarang kemungkinan pertikaian
yang berpunca daripada peruntukan sedia ada.
[1]
FIQH 4 MAZHAB JUZUK 4,5. SYAIKH ABDUL RAHMAN AL-JAZAIRI (27-30)
[2]
PANDUAN FIQH MUNAKAHAT. YAZID HJ MAAROF MOHAMAD KAMIL AB MAJID (12-13)
[3] Emunakahat.
JABATAN AGAMA ISLAM SARAWAK
[5]
SHAHIH AL-JAMI. No.7298
[6]
PANDUAN FIQH MUNAKAHAT. YAZID HJ MAAROF MOHAMAD KAMIL AB MAJID
[7]
PANDUAN FIWH MUNAKAHAT. YAZID HJ MAAROF MOHAMAD KAMIL AB MAJID
[9]
PANDUAN PENGURUSAN NIKAH DI MALAYSIA (JAKIM)
[10] PANDUAN
PENGURUSAN NIKAH DI MALAYSIA (JAKIM)
[11]
SYARIAH DAN UNDANG-UNDANG. NIK SALIDA SUHAILA NIK SALEH
[12] PANDUAN
PENGURUSAN NIKAH DI MALAYSIA. (JAKIM)
[13]
DEFINISI WALI DALAM PERNIKAHAN: PERSPEKTIF FIQH DAN UNDANG-UNDANG KELUARGA
ISLAM DI MALAYSIA
MOHAMMAD AZAM HUSSAIN (UNIVERSITI UTARA MALAYSIA)
SEKIAN SAHAJA,
MOHON MAAF SEKIRANYA ADA KEKURANGAN 😉😉😉
ASSALAMUALAIKUM.
No comments:
Post a Comment